5 RASIONAL HARGA MEWAH SEPINGGAN CUCUR UDANG DI RESTORAN MILIK CHEF SELEBRITI



Petang cuti hari merdeka lalu, seorang kawan ajak Hi-Tea di restoran selebriti terkenal Dato' Chef Wan, De Wan 1958 By Chef Wan di The Linc.


Bangunan The Linc terletak di tepi jalan seberang dari Intermark dan berdekatan dengan LRT Ampang Park. Masuk ke dalam bangunan tersebut, perkataan pertama muncul ialah 'instagram'. Ya, setiap sudut bangunan The Linc mempunyai elemen wow untuk mengambil gambar yang ohsem. Sebatang pokok kayu ara  yang besar menjadi 'signature' dengan kedai-kedai lain mengelilinginya.

Kami berempat sampai di restoran tersebut dalam pukul 3.40 petang. Disambut gambar Chef Wan tersenyum lebar di muka pintu.

Terus-terang, saya hadir ke restoran yang disebut-sebut ini dengan dua jangkaan (expectation) yang tak dapat dielakkan iaitu membayangkan harga juadah yang mahal setanding kualiti 'fine dining' dan rasa sedap tahap sentuhan chef antarabangsa.

Selepas menunggu hampir 30 minit, sampailah sepinggan soto ayam dan sepinggan cucur udang (tunggu lagi 10 minit untuk minuman). Sup soto ayam dituang dari kendi berleher panjang. Saya tak tahu kenapa dimasukkan ke dalam kendi jika sup itu sudah tidak panas apabila dituang ke dalam mangkuk.

Cucur udang pula dihidangkan bersama-sama semangkuk kecil kuah kacang disertakan sepiring kecil sambal. Apabila kita beli pisang goreng ada serdak 'kruk kruk', itulah lapisan atas paling besar yang menutupi cucur udang yang sebenarnya ada beberapa keping di bawahnya. Kami diam selama beberapa minit, berusaha menikmati juadah yang ada.

Beginilah... memandangkan ini bukan blog masakan dan saya bukan pengkritik profesional, saya akan simpan komen saya mengenai rasa masakan. Cuma, saya cadangkan jika anda seorang tukang masak atau sedang lapar, rasa masakan yang disediakan gagal mencapai piawaian biasa-biasa.

Cuma saya memikirkan  bagaimana sepinggan cucur udang yang hanya ada beberapa keping (dengan lapisan besar kruk kruk) boleh dijual pada harga RM20++ dan cucur udang di tepi jalan yang digoreng panas-panas boleh dibeli pada harga RM0.50 sekeping?

Berikut 5 sebab yang 'merasional' harga cucur udang restoran De Wan dijual pada harga RM20++ :

1. Kita bayar kerana lokasi

Restoran ini terletak di dalam bangunan The Linc. Di dalamnya ada kedai runcit Ben's Independent Grocer (BIG), outlet yang mana purata harga baju-bajunya dalam lingkungan 3 digit dan pastinya lokasi Segi Tiga Emas KL yang meliputi sekitar kawasan KLCC sehingga ke Bukit Bintang memberi impak pada harga dan jenis restoran.

2. Kita bayar kerana 'ambiance' (karakter suasana yang dicipta)

Restoran De Wan ada karakter tersendiri. Suasana mewah dengan lampu, warna-warna yang ceria, baju batik jurusaji wanita yang direka unik dan keluasan ruang yang memberi rasa elegan.

3. Kita bayar kerana jenama

Kehadiran Dato' Chef Wan memberi 'feel' kita bukan berada di dalam restoran biasa-biasa. Dia bersalaman dengan setiap tetamu (entah kenapa, meja kami tidak disinggah). Ini restoran selebriti chef.

4. Kita bayar kerana 'food presentation'

Ada makanan yang dihidang di dalam sangkar. Ada makanan yang ditatang di dalam dulang seperti nyiru. Kami melihat sup soto dituang ke dalam mangkuk seperti melihat air kopi pekat Parsi dituang ke dalam cawan. Ya, ini adalah di antara pengalaman makan di De Wan 1958 by Chef Wan.

5. Kita bayar kerana kita nak merasai pengalaman

Hakikatnya, yang dibayar itu adalah 'harga' pengalaman berada di dalam De Wan. Jurusaji memain peranan kedua iaitu sebagai jurufoto tetamu. Sekejap-sekejap kita akan lihat orang mengambil gambar.

Secara peribadi, saya memperolehi momen seronok lepak di hari cuti bersama-sama si kawan, adik dan anak saudara. Malangnya, 'palate' rasa saya tidak mengalami keseronokan yang diimpikan. Balik rumah, cari nasi dan asam pedas,


P/s : ini cabaran prompt blog September 'Mewah'.




Ulasan

MENARIK

GARA-GARA PKP SATU KELUARGA MAKAN TELUR SOLAR

DIAN, PELUKIS TERMUDA DI MALAYSIA

LAUT