FELLOWSHIP OF THE BOOK : KUASA PENULIS WANITA
Kami berlima (yang ke-6 jauh di mata, dekat di hati) ialah penulis. Jangan ingat, di sebalik kemanisan wajah masing-masing ber'wefie' dengan senyuman bak iklan ubat gigi berjenama prestij, kami ini seperti penyanyi nasyid yang mendendangkan lagu irama syahdu.
Oh tidak. Kami sangat berbeza dalam pelbagai segi... latar belakang, kerjaya, pengalaman, usia, personaliti malah ideologi politik. Jangan terperanjat, kami juga lantang bersuara. Lepak dengan kami seperti lepak di Parlimen. Berdebat, bertikam lidah tetapi selepas itu kami gelak ketawa.
Persahabatan 'Fellowship of the Book' kami ini terhasil secara organik. Ada rasa 'ngam' apabila bersama-sama dan kami saling beri inspirasi dan jadi pemangkin.
Apabila difikirkan, ada 5 perkara yang menyebabkan kami kamceng:
1. Di mata ada nyala, di hati ada rasa
Kekuatan wanita terletak pada nyala rasa (passion). Apabila mereka dah suka sesuatu, setiap hela nafas, dari bangun tidur sehingga nak tidur, mereka akan berfikir dan bercakap mengenai sesuatu itu. Keterujaan wanita pada sesuatu akan diikuti dengan pembelian.
Jika seorang wanita minat kecantikan, dia akan membeli set lengkap barangan solek dan apa sahaja yang berkaitan dengan cantik. Sama juga dengan wanita yang teruja (passionate) dengan buku. Ya, kami berenam ada persamaan ini. Kami sangat, sangat, sangat teruja dengan buku dan segala hal yang berkaitan dengan buku.
Apabila berlaku plagiat dalam industri, kami seia sekata mengutuk. Apabila ada berlaku ketidakadilan dalam ekosistem industri, kami saling beri input tindakan.
2. Agree to disagree
Konsep ini ramai yang pandai sebut, "Oh boleh, boleh. Kita agree to disagree." Tup, tup apabila berdiskusi dan seterusnya berdebat mengenai sesuatu isu, ramai yang hanya mahu menang untuk dapat sorakan. Kami tidak begitu.
Apabila kami ada pendapat, kami suarakan. Jika tak setuju, kami telus dan beri rasional kenapa tidak setuju. Seorang kawan (di dalam gambar) ada kata, "Semakin kita gaduh, semakin mantap apa yang kita nak buat ni. Kita tahu kita bukan syok sendiri." Ya, kami bentangkan semua pro and con, kekuatan dan kekangan serta cabaran yang mungkin timbul.
Fahamilah, konsep 'agree to disagree' tiada pihak yang menang atau kalah.
3. Ego letak tepi
Kami berenam ada agenda tersendiri dalam membawa syarikat atau buku masing-masing di dalam industri. Tidak timbul perbandingan ilmu, kepakaran, pengalaman mahupun idea. Sebaliknya, kami saling beri sokongan dan beri input nilai tambah.
Walaupun perbezaan di antara kami sangat nyata (seperti siang dan malam) perjuangan kami adalah sama dalam industri buku. Kami mahu menghasilkan konten-konten yang berkualiti dan bermanfaat di samping menjana pendapatan yang berterusan. Perbincangan kami fokus. Tiada sembang yang di luar topik buku. Tiada 'iklan' kosmetik mahupun fesyen.
4. Bersedia terima kritikan
Semenjak wujud program realiti, semua rasa dirinya berhak jadi juri untuk setiap perkara yang dilihat, didengar dan dibaca. Memberi kritikan sudah jadi klise. Menerima kritikan memerlukan seseorang untuk letak tepi ego dan membesarkan hatinya.
Adab memberi kritikan kami santuni. Yang dikritik hanyalah perkara dan bukannya diri si kawan itu (penulis). Kami protes kritikan berbentuk 'character assasination'.
5. Bukan kerana nama
Kami ada pembaca dan pengikut tersendiri. Tetapi apa yang kami lakukan bukan untuk jadi popular semata-mata. Kami ada konten mahal yang ingin dikongsi dengan ramai. Malah, kami sedar kesepakatan kami dalam penghasilan konten bermutu akan memberi impak kepada budaya membaca.
Jika di dalam kamus ada perkataan 'sinergi', cuba lihat... di sebelah itu ada wajah-wajah kami.
Ulasan
Catat Ulasan