BUNGA

Setiap kali musim konvokesyen, bisnes bunga meletup-letup. Tak tahu siapa yang memulakan trend, musim konvo, para graduan mesti diberi bunga.

Mungkin keluarga saya bukan jenis beri bunga, maka 3 kali sarung jubah graduasi untuk Diploma, Sarjana Muda dan Sarjana tiada sekuntum bungapun saya dapat. Malah, Numan yang menemani semasa konvo di Illinois State University (Mak Abah tak dapat datang) juga tak beri bunga.

Seumur hidup, 3 atau 4 kali sahaja saya mendapat bunga. Terakhir 2 tahun lepas, seorang lelaki menghulur sejambak besar bunga mawar merah tanda perkenalan. Kaget, tak tahu nak beri reaksi apa. Saya balas dengan ucapan terima kasih sahaja.

Paling ohsem adalah lelaki pertama ajak saya 'date' ke lokasi Festival Bunga di Kuala Lumpur. Walaupun sudah 10 tahun berlalu, itu perancangan 'date' yang saya harus beri 'standing ovation'. Hampir 3km kami berjalan melihat -lihat rumah-rumah kampung yang dibina. Saya hargai perancangan itu. Bunga-bunga yang dilihat adalah bonus.

Di rumah saya, Abah tanam pokok bunga kertas dan pokok Alamanda. Saya sebenarnya baru tahu pokok berbatang halus tumbuh meninggi di depan ruman ialah pokok Alamanda. Bunganya kuning terang sebesar kepala bayi.

Pernah Abah beli bunga teratai dan kiambang untuk diletak di dalam kolam ikan depan rumah. Entah kenapa setiap kali letak kiambang, mesti katak-katak datang mengawan. Pernah juga Abah beli bunga Taik Ayam sebagai penghias pagar (bunganya warna-warni).

Saya kagum bunga telang yang boleh dijadikan salad dan juga pewarna biru organik di dalam masakan. Orang melayu guna bunga telang untuk memberi warna biru pada nasi kerabu. Orang cina pula gunakan untuk kuih mereka. Apabila menonton rancangan memasak barat, melihat mereka menggunakan bunga telang, mesti terdetik di hati, 'bunga telang tu merimbun depan rumah aku dah jadi semak."

Oh, lupa. Saya pernah pakai skirt labuh berwarna jingga dengan corak bunga matahari ke pejabat. Seorang rakan sepejabat nyanyi lagu Maya, "Bunga, bunga matahari,  anggun mekar, di taman sari...."

Itulah cerita saya dan bunga.

Ulasan

MENARIK

GARA-GARA PKP SATU KELUARGA MAKAN TELUR SOLAR

DIAN, PELUKIS TERMUDA DI MALAYSIA

LAUT