CARA LENYAPKAN STRES... BERHENTI JADI HAMBA KERJA

Setiap kali jumpa Ain dan adik-beradiknya yang semakin tinggi, selalu bergurau dengan Mak, "nasib baik ada budak-budak ni untuk sedarkan diri dah semakin tua."

Kami gelak serentak. 

Saat itu, selalunya saya tambah perisa usikan, "Besar hikmah sendi semakin sakit, jika tidak sehingga sekarang gigih nak buat macam-macam kerja, kan Mak (sambil * wink)?"

Saya syukur apabila memasuki usia 40-an Tuhan angkat satu per satu beban di minda dan di hati. Beban terakhir yang Tuhan lenyapkan adalah 'klien korporat'. Haaaaa ... lega. Ringan bahu.

Jika sesiapa pernah tonton filem seram 'Shutter', babak dimana ditunjukkan roh wanita bertenggek di pangkal leher watak utama, begitulah saya rasa selama 25 tahun ini. Cuma dalam hal saya, berat di bahu bukan roh wanita mati dirogol, tetapi beban tanggungjawab. 

Fyi, semenjak Februari tahun ini, saya unemployed. Saya secara sedar mengambil keputusan untuk:
  • tidak menjadi perunding editorial dan penerbitan
  • tidak mengambil sebarang tugas yang melibatkan pemilihan sebutharga
  • tidak membuat kerja yang bayaran diperolehi selepas 'kering peluh'.
  • tidak bekerja dengan orang yang menjadikan saya ''kuli/hamba.'
  • be happy doing what I love

Subhanallah, saya tak sangka keputusan itu benar-benar buat saya rasa bebas. Yang paling penting gembira. Alhamdulillah.

Dulu, bernafaspun tak teratur. Badan dan minda 'over stress' sehingga muka kebas, sendi  sakit, selalu selsema dan entah apa lagi badan perlu tanggung. 

Dulu, buat kerja-kerja penerbitan dengan klien korporat dan agensi kerajaan, nilai invois berpuluh - puluh ribu (ada yang 6 digit), tetapi merasa duit tersebut hanya selepas 6 bulan. Paling lama adalah 10 bulan... eh lupa ada satu lagi agensi kerajaan yang 'pending printing' sehingga sekarang (12 bulan). 

Baru saya faham perasaan adik lelaki saya apabila dia ambil keputusan untuk 'quit his job and travel the world' pada tahun 2013. Dia mengembara ke 20 negara (hitchiking dan back packing) selama 2 tahun dan kini bermastautin di Phnom Pehn, Kemboja. Sekarang, dia buat apa yang dia suka. 

Hidup apabila dihantui kenangan, dibebani kerja dan memikul tanggungjawab yang terpaksa membuatkan kita terlepas semua nikmat yang Tuhan kurniakan. 

Awal tahun ini apabila saya buat keputusan untuk 'quit', perkara pertama yang saya fikir adalah bagaimana nak hidup tanpa pendapatan dan klien tetap.

Caranya:
  • kira semua perbelanjaan
  • zero want, minimize need
  • buat kerja jangka pendek dengan upah tunai
  • beri manfaat kepada ramai

Semalam, saya dan Mak bersembang mengenai kriteria Asnaf. Saya usik Mak, "jika ikut tahap pendapatan, kita dah boleh dikategorikan sebagai Asnaf miskin."

Ya, tahun ini anggaran purata pendapatan isi rumah kami sebulan ialah RM900 sebulan. Kami bertiga (saya, Mak dan adik perempuan) buat kerja yang kami suka. Ada bulan dapat ribuan. Ada bulan, hanya pandang ke bulan. Kami berjimat. Kami tiada kehendak luar biasa. Alhamdulillah, sehingga kini rezeki makan mesti ada, entah dari mana datang. 

Mungkin kerana ego, saya tak sanggup untuk menggelar diri sebagai Asnaf dan mohon di Baitumal. Malah, apabila saya memulakan projek #inspirasi2020, saya tak betah menerima sumbangan sekadar menerima bulat-bulat. Saya rasa selesa menganggap itu upah ke atas usaha, maka saya berusaha untuk memberi yang terbaik. 

Insya Allah, setakat ini, kami sekeluarga masih boleh 'enjoy life' dengan duit yang diterima setiap bulan. 

Mungkin ada yang kata, "Oh tak pe la, Mimi bujang. Bukan ada anak-anak."

Ya benar. Saya tiada anak-anak usia sekolah yang perlu diberi makan atau diberi bekal duit RM10 sehari. Tapi saya masih ada pejabat yang perlu dibayar sewa dan tinggal bersama-sama ibu bapa yang ada keperluan perubatan.

Kini saya belajar untuk tidak membandingkan 'kerak siapa lebih besar'.  

Kos hidup kita berbeza. Pilihan hidup kita juga berbeza. Tetapi matlamat kita semua sama. 

Kita mahu bahagia hidup di dunia dan di akhirat.


copyright: Dilbert, Scott Adam

copyright: Dilbert, Scott Adam

Ulasan

MENARIK

GARA-GARA PKP SATU KELUARGA MAKAN TELUR SOLAR

DIAN, PELUKIS TERMUDA DI MALAYSIA

LAUT