5 TIP UNTUK TAHU SAMA ADA KITA BERSAHABAT BAIK ATAU TIDAK?
Seorang kawan perempuan pernah bertanya, "Saya kawan baik Mimi, ke?"
Terkesima. Termanggu. Lama saya diam.
Ternyata diam saya itu telah menerbitkan sekelumit calar di hatinya. Adakah perlu saya meminta maaf? Saya tak pasti. Adakah berdiam diri kerana tidak tahu jawapan, sehingga membuat si kawan terasa, itu salah saya? Akhirnya, kami anggap soalan itu tidak pernah wujud.
Malangnya semenjak ditanya soalan itu, ia sentiasa bermain-main di laman fikiran. Orang yang bagaimanakah saya kategorikan sebagai sahabat baik? Dan, adakah saya seorang sahabat yang baik?
Ini 5 perkara yang saya kenal pasti:
1. Saling mempercayai
Apabila saya rasa selamat untuk bercerita sesuatu yang peribadi, saya tahu dia seorag sahabat. Dan, apabila si kawan mula membuka hati dan turut berkongsi rahsia, itu umpama saya tahu apabila dia tiba di syurga, dia akan memanggil nama. Jika saya tiada, dia akan jumpa Tuhan dan merayu untuk saya menikmati syurga bersama-samanya.
Ada satu perasaan lega apabila dapat bertemu seseorang yang dipercayai untuk saling berkongsi rasa, minat, ketakutan dan harapan. Ia adalah perkongsiaan dua hala. Seolah-olah jumpa 'the other half'.
2. Saling terima kekurangan dan tidak iri dengan kelebihan
Sesuatu yang peribadi itu umpama pekung di dada. Malu, cuak pun ada. Nak cerita sesuatu yang disimpan di dalam hati sekian lama bukan mudah. Jumpa seseorang yang saya boleh mengadu dan rasa bebas untuk bercakap tanpa rasa dihakimi pada perkataan pertama adalah satu kelegaan juga.
Pada masa yang sama, mempunyai kawan yang ikut melompat dan bertepuk gembira mendengar kejayaan saya adalah pemangkin untuk jadi saya mahu jadi lebih cemerlang. Sudah pasti, saya juga mesti menjadi sahabat seperti itu kepadanya.
3. Masa bersama itu berharga
Adakala saya sibuk bekerja dan menyelesaikan urusan (yang tiada penghujung). Ada kawan-kawan yang saya jarang-jarang bertemu. Tetapi apabila bertemu, ahhh ... seolah-olah kami tak pernah mengucapkan selamat tinggal. Setiap jam, minit dan saat itu berharga.
Kebiasaannya, ketiadaan masa lepak bersama kawan akan menyebabkan rekah dalam perhubungan. Jadi memiliki kawan yang saling memahami bahawa masa adalah sesuatu yang tak mampu diguna secara lewa adalah persamaan yang dihargai.
4. Berterus terang dan Bersedia Terima Kritikan
Ada orang, dia 'pakar' berterus-terang tetapi dia tak mampu untuk terima kritikan. Asyik-asyik dia sahaja yang betul. Nak jumpa seseorang yang bersedia untuk bercakap secara jujur dan pada masa yang sama bersedia untuk menerima kritikan itu sukar. Jika jumpa kawan yang ada kedua-dua sifat, wahhh itu umpama limpahan rahmat Yang Maha Esa.
5. Komunikasi bisu
Apabila jumpa seseorang yang boleh saling angkat kening dan tergelak mendengar cerita sesuatu/seseorang tanpa perlu membuka mulut adalah momen saya tahu kami dah saling membaca fikiran masing-masing. Kami boleh bersembang dan gelak akan sesuatu yang hanya antara kami faham. Malah, apabila ada sesuatu yang menyedihkan dan tak mampu nak ucapkan, seorang kawan baik itu boleh tahu dan beri sokongan moral.
Sahabat baik mampu mengupas lapis demi lapis diri dan menerbitkan lapisan yang terbaik dalam diri masing-masing. Di sebalik kejayaan seseorang pasti ada seorang sahabat baik. Dia mungkin adik-beradik, ibu bapa, pasangan hidup, guru, rakan sepejabat, rakan yang mempunyai minat yang sama, jiran, Ah So jual ikan... sesiapa sahaja yang menepati ciri-ciri sahabat baik itu.
Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
x
Ulasan
Catat Ulasan