MALAM
Banyak kenangan waktu malam yang saya suka. Tak tahu nak pilih yang mana satu.
Sama ada mahu menulis mengenai bintang-bintang di langit Queenstown, NZ, berkerlipan seperti mentol-mentol kecil yang dipasang semasa musim perayaan.
Atau, menulis melihat Super Moon berlabuh di kaki langit Pulau Redang, sedang jejari kaki menguit pasir-pasir lembab, sedang si mamat R menabur ayat-ayat manis, kala mata hanya terpesona melihat cantiknya alam.
Saya memilih untuk menulis mengenai momen-momen malam pada tahun 1988. Ketika itu, Mak Abah baru memulakan syarikat penerbitan majalah dengan majalah pertama kami iaitu majalah IBU. Menerbitkan majalah bulanan, deadline sangat ketat. Perlu siapkan bahan untuk 3 keluaran ke hadapan. Kami hanya ada seorang jurutaip, Mak sebagai wartawan dan seorang type setter. Zaman itu tiada komputer grafik, yang ada ialah tugas-tugas typesetting. Setiap perkataan, perenggan, tajuk dan gambar harus disusun dan ditampal di atas dummy.
Awalnya, ofis Pustaka Wira Sdn Bhd (nama syarikat Mak Abah) adalah di rumah. Sebuah bilik di atas dijadikan ruang untuk kerja-kerja type setting. Komputer untuk menaip diletakkan di sudut tepi ruang tamu. Pengalaman Mak bekerja di beberapa surat khabar dan majalah memudahkan transisi untuk mengendalikan syarikat penerbitan. Artikel-artikel adalah sumbangan daripada pakar yang Mak kenali, doktor, ahli agama, kaunselor dan sebagainya.
Akhir tahun 1988, Mak Abah sewa sebuah pejabat jarak berjalan kaki dari rumah. Siang malam Mak dan Abah di pejabat. Banyak kerja-kerja penerbitan yang perlu disiapkan. Adakala sehingga pukul 4 pagi baru pulang ke rumah.
Semasa semua ini berlaku, adik bongsu masih bayi dan menyusu badan. Tengah-tengah malam si kecil akan terbangun dan menangis. Saya, si sulung berusia 14 tahun. Geram bilamana si kecil tak mahu berhenti menangis walau sudah dihenjut dan didodoi beberapa minit. Habis ikhtiar, saya akan hubungi Mak di pejabat. Beberapa minit kemudian Mak Abah balik. Tetapi balik sekadar untuk mengambil adik dan membawanya ke ofis. Begitulah hampir setiap malam.
Ofis telah menjadi rumah kedua (mungkin juga ia yang pertama). Saya lima beradik makan, buat kerja sekolah malah hari cuti perlu ke ofis tolong pek majalah untuk langganan. Adik bongsu membesar di pejabat.
Hanya selepas ada beberapa pekerja, Mak Abah sudah tidak selalu ke pejabat pada waktu malam. Tetapi jika ada deadline majalah dan buku, waktu malam tiada beza dengan siang, Mak Abah pasti di ofis.
Sekarang, tiada lagi majalah. Tiada lagi deadline. Semenjak Abah diserang strok pada Disember 2009, waktu malam Mak Abah hanya di rumah.
Adik bongsu membesar di ofis
|
Semasa pelancaran rasmi majalah IBU pada tahun 1989 |
Awal tahun 90-an kami mengambil booth di Pesta Buku Antarabangsa KL |
Datuk Aripin Said (bermain kompang) sudi hadir memeriahkan pembukaan ofis baru kami |
(gambar atas) Mak diwawancara di RTM. (gambar bawah) Abah diwawancara di ofis Pustaka Wira Sdn Bhd |
Ulasan
Catat Ulasan