LAUT

Saya suka laut. Walaupun tak pandai berenang, asalkan boleh terapung, laut menjadi pilihan bercuti. Namun, ada satu  pengalaman di laut yang tak boleh dilupakan. 

Tahun 2004, selain memiliki syarikat penerbitan majalah, Mak dan Abah juga menjual pakej pelancongan dengan cara bekerjasama dengan beberapa agensi pelancongan. Pada bulan Disember 2004 ada pakej menaiki Star Cruise Virgo selama 4 hari 3 malam. Mak dapat tempahan daripada sekumpulan guru-guru pesara untuk ikut serta. 

Pagi itu, kami berempat, Mak, Abah, saya dan adik bongsu ke Pelabuhan Klang. Saya teruja... tak dapat bayangkan bagaimana rupa kapal pelancongan itu. Memasuki parkir Pelabuhan Klang, di hadapan kami gah sebuah kapal berwarna putih dengan tingkap-tingkap kecil tersusun seolah-olah bangunan flat yang melebar. 

Ketika keluar dari kereta, melihat kapal yang tersergam, saya membayangkan diri seperti Rose di dalam filem Titanic. Mungkinkah Mimi akan bertemu Jack? Siapakah gerangannya si Jack? Saya mula berangan-angan. 4 hari di lautan terbuka, pelbagai perkara boleh berlaku. 

Dari parkir, kami perlu menaiki jambatan sebelum tiba di pintu masuk kapal. Jika sesiapa masih ingat drama bersiri 'The Love Boat' (70s and 80s youngster might remember the series) di mana para penumpang disambut oleh kapten, anak-anak kapal dan beberapa penari di pintu masuk utama, begitulah kami disambut.

Menariknya, sebaik menaiki kapal kami perlu menyerahkan pasport kepada pegawai bertugas. Destinasi kami bermula di Klang menuju ke Phuket terus ke Langkawi dan kembali semula ke Klang. Kami hanya perlu pastikan tag nama dengan logo star cruise sentiasa dibawa kemana sahaja. Para petugas kapal yang akan mengendalikan urusan imegresen. 

Bilik kami terletak di tingkat bawah. Bilik tiada tingkap dengan saiz lebar anggaran 2 kali depa tangan (angaran 10 kaki lebar). Itu antara bilik dengan pakej termurah. Dekor bilik simple... dua katil sedia ada dan 2 buah katil yang perlu dinaikkan (sebelum itu terlekat di dinding), menjadikan ia nampak seperti double decker. Itu bilik untuk kapasiti 4 orang. Meja kecil, bilik air juga kecil. Di dinding ada skrin yang menunjukkan kedudukan kapal. Ia kelihatan seperti skrin penerbangan cuma simbolnya ialah kapal yang meredah lautan. Kelihatan simbol kapal sedang bergerak perlahan menuju ke Phuket. 

Saya jenis yang apabila melancong mahu lihat aktiviti di dalam itenari. Percaya atau tidak, itenari Star Cruise ialah makan, makan, makan, makan, makan dan makan. Ya ada 6 kali makan. Itenari kami adalah 'free and easy'. Persoalannya, apa yang nak dibuat/dilihat di atas kapal selama 4 hari itu?

Fuhhh banyakkk yang boleh dibuat. 

Star Cruise Virgo ada 6 tingkat. Tingkat atas untuk melihat pemandangan laut nan luas, ada kolam renang, tenis, ruang untuk kanak-kanak bermain dan beberapa bilik rekreasi termasuk gim. 2 tingkat di bawahnya adalah lobi utama, auditorium, restoran-restoran, kedai untuk membeli-belah, pawagam dan kasino. 

Semasa menyerahkan pasport, setiap penumpang diberi kupon makan yang membolehkan kami memilih untuk makan tengah hari dan makan malam di mana-mana restoran dari pelbagai negara. Saya baru tahu, apabila berada di lautan terbuka, kasino boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja termasuk muslim. Ya saya masuk, sekadar untuk melihat. Aktiviti di atas Star Cruise sangat banyak termasuklah 'strip tease'. Ini saya tak sanggup nak cuba-cuba masuk. 

Berlabuh di Patong Beach, Phuket para penumpang diberi masa 6 jam untuk 'free and easy'.  Turun dari kapal, kami dibawa dengan bot laju ke pantai. Saya dan adik berjalan-jalan memasuki kedai cenderamata. Kedai pertama yang kami masuki, seorang wanita muda, ramah mengalu-ngalukan kehadiran kami, "Come, come, best price, best price."

Awal pagi itu, kami pembeli yang pertama. Saya tertarik melihat bekas lilin berputar yang diperbuat daripada buluh yang diwarnakan hitam. Sementara membelek pilihan, dia bertanya adakah saya menaiki kapal yang sedang berlabuh. Saya menoleh ke kiri dan nampak kapal kami tersergam memenuhi ruang. 

Dari jauh, kapal itu seolah-olah boleh disentuh, tetapi hakikatnya ia hanya ilusi menarik jika mahu mengambil foto. Kata si penjual itu, "Entah bila saya mampu menaiki kapal sebegitu besar. Saya hanya mampu melihat dari sini." Saya faham maksudnya dan hanya berupaya angguk sebagai tanda 'I hear you.' 

Pelayaran diteruskan ke Langkawi. Malam itu, kami ada makan malam gala bersama-sama kapten kapal. Para penumpang berpakaian formal dengan makanan dihidang oleh para pelayan. 

Pagi sampai di Langkawi, kami diberi kebebasan untuk 'free and easy' sekali lagi selama 6 jam. Saya masih ingat membeli 2 senduk dan pelbagai jenis coklat. 

Malam ke-3 sebelum tiba di destinasi terakhir iaitu Pelabuhan Klang, para penumpang disajikan dengan makan malam  bertema Hawaii di atas dek di tepi kolam renang. Pelbagai jenis hidangan panggang disediakan ... makanan laut, ayam, daging. 

Banyak pengalaman saya perolehi menaiki Star Cruise. Di antaranya saya dan adik mencari pintu untuk ke haluan kapal sepertimana aksi Jack di dalam filem Titanic berdiri sambil bersorak "I am the king of the world". Kami jumpa pintu tersebut, tetapi terlalu bahaya untuk kami panjat. 

Apabila saya tanya adik, apakah kenangan paling 'best' naik Star Cruise. Katanya, makan 6 kali sehari. Serius best. Semua makanan itu dipantau oleh chef dari Malaysia dan disahkan halal. Info ini saya dapat tahu daripada Mak. Biasalah, wartawan... pantang jumpa sesuatu yang 'intriguing', mesti dikorek. Abah pula dapat tahu bahawa aktiviti di atas kapal 'hidup' 24 jam. Walau pukul berapa sekalipun, ada sahaja pekerja sedang melakukan sesuatu. Dan, para pekerja kapal adalah dari pelbagai warganegara di dunia. 

Pelayaran kami bermula pada 19 Disember 2004 dan berakhir 4 hari kemudian dengan rasa sangat, sangat, sangat puas. Belum habis kami bercerita mengenai kenangan-kenangan naik kapal, dunia dikejutkan dengan berita tsunami terbesar abad ini. 

Tsunami yang menghempas pada pagi 26 Disember 2004 mengorbankan beratus-ratus ribu nyawa. Patong Beach, Phuket adalah di antara lokasi yang ranap ditimpa bertan-tan air laut yang mengganas.

Saya tahu, berdasarkan laporan di media, semua kedai di Patong Beach musnah dilanda tsunami. Sehingga kini saya masih teringat-teringat melihat kapal Star Cruise Virgo yang tersergam di tengah-tengah laut di persisiran Patong Beach. Dan, masih terngiang-ngiang kata-kata si penjual wanita yang menjual bekas lilin pada awal pagi itu. Sedih memikirkan, dari depan kedainya itu dia boleh nampak gulungan tsunami menghampiri. 

Bayangkan, hanya beberapa hari sebelum itu, lautan yang sama telah kapal kami layari. 

Ini kapal Star Cruise Virgo yang kami naiki

Mak teruja. Abah kaget. 

Sarapan dengan adik (tudung hitam) di atas dek. Pemandangan laut saujana mata memandang. 






Ulasan

  1. Allahu. Sela masa antara cruise dan tsunami hanya dua hari.

    Tapi pengalaman yang menarik. Saya tak mampu rasanya, mabuk laut! Eheheeh!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah... seriau memikirkan. Laut yang sama kami lalui di Phuket itu yang meranap habis Patong Beach. Hihihi... serius tak rasa mabuk laut duduk dalam kapal besar. Jika ada bajet, cubalah melancong naik cruise

      Padam

Catat Ulasan

MENARIK

KASIH SAYANG TANPA SYARAT

DIAN, PELUKIS TERMUDA DI MALAYSIA

GARA-GARA PKP SATU KELUARGA MAKAN TELUR SOLAR