COKLAT

Ini kisah penangan coklat dalam memikat. Tetapi dalam cerita ini ia bukan sekadar coklat tetapi lebih hebat, kek keju coklat. Bukan satu biji kek, tetapi dua biji. Satu lagi ialah kek keju strawberi.  Ini bukan kisah cinta saya cuma saya terlibat dalam proses itu. Ini kisah Numan.

Kawan baik saya di Amerika seorang mamat Pakistan, bapanya doktor dan keluarganya sudah menetap lama di Amerika. Numan bertubuh sedang, tinggi hampir 6 kaki, berambut lebat hitam dengan bebola mata yang... aduhaiii seperti karamel cair dipagari bulu mata lentik. Pertama kali kami bertemu saya lihat dia biasa-biasa sahaja. Lama-kelamaan, dia semakin kacak. Mungkin kehidupan kampus dan dia mula pandai 'groom' menyumbang pada perubahan itu. Sekali pandang, wajahnya ada iras pelakon Bollywood Amir Khan dan Akshay Kumar.

Di Illinois State Universiti tiada pelajar Melayu Malaysia. Practising muslims juga tak ramai. Ada yang pada nama sahaja berbunyi Muslim.  Saya dan beberapa muslim yang lain selalu lepak bersama-sama. Kami tak ramai. Anggaran 12 orang sahaja. Perempuan ada 4 orang termasuk saya.

Salah seorang bernama Leila, gadis campuran Iran-Amerika. Kulitnya mulus kemerah-merahan dengan bebola mata hijau sejernih zamrud. Pertama kali bertemu Leila, mata saya tak lepas-lepas melihat mata bulat Leila. Jika saya boleh terpesona, bayangkan si Numan.

Sebagai kawan baik, antara 'spesifikasi tugas' termasuklah menyokong usaha-usaha murni kawan. Usaha memikat, bagi saya, jatuh dalam kategori usaha murni (hihihi). Ya, Numan minat Leila dan dia nak 'test' sama ada si gadis juga menyimpan minat yang sama.

Entah majalah mana si Numan baca yang menyatakan ada kajian menunjukkan wanita suka kek keju. Maka, si Numan yang romantik sediakan dua biji kek keju. Hari tersebut, Numan telefon saya dan beritahu sekejap lagi dia nak datang ke bilik. Saya tinggal di dalam kampus.

Saya, Resident Assistant dapat bilik seorang. Bilik saya terletak berdepan lif. Apabila Numan kata nak datang, siap-siap saya buka pintu. Seketika, Numan keluar  dari lif dengan kot labuh berkibar berwarna krim sambil menatang 2 biji kek keju.

Numan potong kek keju coklat bersaiz besar untuk saya rasa dan beri 'endorsement'. Hahaha... gila saya kalau kata tak sedap. Orang dah masak dengan hati berbunga-bunga, jadi orang pertama rasa, pastinya saya angguk dan kata sedap.

Coklat itu bersifat universal dengan erti rasa kasih sayang dan pelbagai makna lain yang membunga rasa. Setiap kali makan kek keju coklat mesti teringat Numan.

Numan dah kahwin, bukan dengan Leila.



Ulasan

Catat Ulasan

MENARIK

KASIH SAYANG TANPA SYARAT

DIAN, PELUKIS TERMUDA DI MALAYSIA

GARA-GARA PKP SATU KELUARGA MAKAN TELUR SOLAR